Arkib

Posts Tagged ‘liquor cerebrospinalis’

Ingat-ingat

eKesihatan.com: Pelancaran Projek Baru

eKesihatan.com

eKesihatan.com

Ingat lagi tak aku pernah buat post tentang forum kesihatan dalam bahasa Melayu? Post tu masih memenuhi ruang atas laman utama blog ini. 🙂

Dengan rasminya aku mengumumkan pelancaran laman web terbaru aku, eKesihatan.com. Satu laman web yang membincangkan pelbagai isu kesihatan. Walau bagaimana pun, isi laman web ni masih lagi terlampau sikit.

Laman web ini aku tujukan untuk kedua orang tua, Mak dan Abah. Dan juga kepada keluarga, sepupu, sepapat sekalian. Semua untuk kegunaan umum.

Tentang forum pula, masih dalam usaha. Buat masa ni aku nak tengok dulu sambutan kepada laman web ni. Kalau mendapat sambutan, aku akan teruskan dengan forum dia. Aku predict, sambutan untuk laman web ini mungkin kurang memberangsangkan. Tapi siapa tahu kan? Hanya Tuhan yang tahu.

Sekarang blog ini hanya mempunyai 3 posts dan 3 halaman. Singgah la kalau senang. [eKesihatan.com]

Bahagian 2: Terima kasih, Tuhan..

Maaf atas keterlambatan aku menyambung cerita pasal Mak. Kesibukan hidup sebagai seorang mahasiswa selalu menghambat aku; ditambah lagi dengan thesis yang harus disiapkan segera.

Pagi 4 Februari 2009

Aku tidur 2 jam saja malam tadi. Awal-awal pagi lagi aku dan Kakak siap sedia dan membersihkan Mak sebelum pembedahan pagi itu. Sejak dari petang semalam, berbotol-botol cairan potassium dan sodium chloride silih berganti dimasukkan ke dalam tubuh mak. Hari ini hari yang cukup besar buat kami sekeluarga. Tinggi harapan kami supaya Mak selamat menjalani pembedahan. Tuhan, semoga kami kuat menghadapi segala ujian dari-Mu..

Doktor Arvin, seorang doktor pelatih yang memantau Mak dari masa ke masa sibuk meneliti carta dan rekod Mak. Darah Mak juga diambil untuk pemeriksaan electrolytes. Seorang demi seorang doktor silih berganti hadir di kaki katil Mak; doktor-doktor pelatih, neurosurgeon, neurologist,dan pakar bius.

Tepat jam 9 pagi aku dikejutkan dengan satu berita buruk; kandungan garam (sodium) dalam darah Mak amat rendah. Keadaan ini tidak membenarkan Mak dibedah. Doktor Arvin sempat diherdik oleh pegawai atasannya kerana tidak memeriksa dan mengawal electrolytes dalam darah Mak dengan betul. Aku juga terkesima. Rasa nak luluh jantung bila tau keadaan jadi macam tu. Banyak mudarat yang menunggu kalau pembedahan diteruskan dalam keadaan macam tu.

Tapi.. doktor Arvin diarahkan untuk mengambil dan memeriksa darah Mak sekali lagi untuk kepastian dan jika ditakdirkan tahap electrolytes yang berkaitan mencapai sekurang-kurangnya 4 mmol di bawah batas minimal, pembedahan boleh dibuat.

Hari ini merupakan hari kelima setelah pendarahan berlaku. Pendarahan di frontal lobe bahagian kiri sebesar duit 50 sen. Mengikut penelitian, bagi kes pendaran otak, pembedahan haruslah dibuat dengan segera; dalam masa 72 jam selepas pendarahan terjadi untuk mengelakkan kesukaran sewaktu sel-sel otak di retract ketika proses pencarian salur darah terbabit berlangsung. Tapi Mak telah melepasi batas waktu tersebut. Doa dipanjatkan setinggi-tingginya kepada yang Maha Esa.

Sekitar jam 930 pagi, 2 orang jururawat datang untuk memasang tiub saluran kencing (urine catheter) keatas Mak. Satu petanda yang baik, Mak boleh dibedah hari ini. Alhamdulillah.. Tak lama lepas itu, 2 orang jururawat datang lagi untuk mengganti pakaian Mak; serba putih untuk menjalani pembedahan. Sambil menanti jam 10, aku, Abah, dan Kakak bersembang ditepi katil Mak. Kisah kenakalan aku sewaktu kecil sempat membuat Mak tersenyum. Perasaan lega sempat menghinggap diri untuk beberapa saat; tadi Mak tak boleh jawab soalan-soalan yang doktor lemparkan.

Mak cik tahu tak sekarang ni kat mana?

Berfikir sejenak, ‘hospital’, jawab Mak perlahan.

Mak cik tahu tak hari ni kita nak buat apa?

Dahi berkerut, senyap, mata mencari muka yang dikenali.

Mak cik tahu tak hari ni kita nak buat apa?

Sama seperti tadi.

I don’t think she know what we’ll do to her. I don’t think she understand.

But yesterday after a meeting with the neurosurgeon, my father has explained to her that she will be operated today. She understood and noded when my father explain all the procedure and risks to her. Itu yang sempat aku katakan.

Ok then. The anesthesist will come here for the next inform consent.

Seperti yang dijadualkan, Mak masuk ke operation theater sekitar jam 10. Persiapan pembedahan sekitar satu jam; bius, ventilator, etc. Pembedahan dianggarkan mengambil masa 2 hingga ke 3 jam. Aku, Abah, dan Kakak menghantar Mak dengan pandangan penuh harapan dari ruang menuggu.

..bersambung..

Bahagian 1: Terima kasih, Tuhan..

Bahagian 1: Terima Kasih, Tuhan..

Sudah 2 minggu aku pulang ke Malaysia. Sekarang aku dah selamat sampai di Bandung, Indonesia. Hari pertama mulai kelas memang amat letih bagi aku.

Buat pengetahuan rakan-rakan, Mak aku sekarang dalam proses pemulihan. Alhamdulillah.. Tanggal 16 Februari lepas Mak dibenarkan pulang ke rumah.

Terima kasih sebanyak-banyaknya kepada yang tolong mendoakan keselamatan dan penyembuhan Mak aku. Terima kasih kepada Tuhan yang Maha Esa kerana atas kuasaNya, Mak boleh seperti sekarang.

Aku ceritakan serba sedikit rentetan kisah Mak aku:

Pagi Sabtu 31 Januari 2009, Mak pergi ke bilik air untuk buang air kecil. Kepalanya terasa amat sangat pening. Mak terus berbaring di atas katil dan memanggil Abah untuk tolong ambilkan ubat darah tinggi Mak. Abah terus memberi Mak makan ubat darah tinggi. Tak lama lepas tu, Mak sendawa besar, muka terus jadi pucat dan tak sedarkan diri. Abah bertindak cepat dengan menelefon ambulans. Setelah beberapa kali menelefon ambulans yang tak kunjung tiba, makcik ku datang untuk memberikan bantuan. Mak di bawa ke unit kecemasan Hospital Daerah Tapah dengan kereta makcik.

Tekanan darah Mak tinggi. Tapi tak tinggi mencecah langit. Cukup untuk dikatakan sebagai Hypertension stage 1 (berdasarkan apa yang dilaporkan oleh Abang dan Kakak aku). Lama masa berlalu, Mak baru sedar sikit-sikit. Segala yang ditanya tidak dibalas dengan kata-kata, tetapi hanya anggukan yang menjawab. Mak pegang kepala; sakit yang amat sangat. Jururawat cuba membuat pemeriksaan tahap kesedaran dengan bertanyakan ‘siapa nama makcik?’, tetapi Mak tak dapat nak jawab. Dalam keadaan gelabah, adikku Ain cuba membantu jururawat tersebut dengan bertanyakan, ‘siapa nama Mak?’. Mak terus menjawab ‘Raimah’, bukan namanya tetapi nama arwah ibunya. Selain itu, Mak juga tidak memberi apa-apa respons di kaki.

Keadaan Mak yang tidak membaik membuatkan doctor refer Mak ke Hospital Besar Ipoh. Dalam jam 2 petang, Mak dihantar oleh ambulans ke Ipoh ditemani Kakak.

Lewat petang itu, CT scan mengesahkan Mak ada pendarahan di dalam otak; daerah frontal lobe. Pendarahan ini sebesar duit syilling 50 sen. Doktor juga mengesahkan ada Mak ada pembengkakan salur darah di otak. (aneurysm di anterior communicating artery). Ini harus dipastikan lagi dengan CT scan yang kedua, 2 hari lagi.

Selasa 3 Februari aku pulang untuk melihat keadaan Mak dengan mata kepala aku sendiri. Perjalanan dari LCCT ke Ipoh dirasakan terlalu amat lama setelah mendapat panggilan telefon dari Abah ketika aku masih di Sungai Buloh.

“Abah dah jumpa doktor pakar. Mak harus dibedah segera, kemungkinan besar besok. Keadaan Mak kritikal. Kalau tak bedah, kematian. Kalau bedah, ada risiko tinggi untuk kematian. Chances, 50-50″

Rasa nak luluh jantung aku dengar macam tu. Walaupun sebelum pulang Malaysia aku dah baca pasal aneurysm dan dia punya treatment dan segala risiko, aku tetap lemah. Kepala lutut ku bagaikan tiada tulang lagi. Bertalu-talu panggilan telefon dari makcik dan pakcik dari kedua-dua belah pihak keluarga. Abah dah bagitau mereka terlebih dahulu untuk mendapat persetujuan pembedahan.

Aku tiba di Hospital Besar Ipoh sekitar jam 5 petang. Terus aku ke katil Mak. Mak terbaring mengiring tak bermaya. Mata tertutup rapat. Kepala dan belakang badan basah dek keringat. Ku pegang kepala Mak, terasa panas dan berdenyut. Abah kata sebelum ni lagi kuat denyutan di kepala Mak.

Abah belum menandatangan surat kebenaran untuk pembedahan. Aku, Abang dan Abah terus pergi jumpa doktor dan dengar semula penerangan dari doktor. Aku lihat CT scan kepala Mak. Kesian Mak… Sebagai seorang yang belajar perubatan, aku terangkan lagi serba sedikit semua risiko yang harus kami hadapi. Abah dah bagitau Mak pasal pembedahan. Mak mengangguk tanda faham dan setuju.

Mak dijadualkan masuk operation theatre jam 10 pagi jika tiada kes-kes kecemasan yang lain. Aku tak tidur malam tu dan duduk disebelah Mak sambil tolong kipas dan urut kepala Mak. Dalam kegelapan hatiku berkata-kata, ‘adakah ini malam terakhir aku bersama Mak..’. Hatiku tak henti-henti meminta Tuhan selamatkan Mak.

..bersambung..

Bahagian 2: Terima Kasih, Tuhan..

Tuhan, Selamatkanlah Mak…

Januari 30, 2009, aku dapat panggilan telefon dari Abang. Pendek ja perbualan kami:

Mak, jatuh pagi tadi masa gosok gigi. Sekarang dekat emergency room, tak sedar. Nanti apa-apa perubahan, Abang bagitau. Jangan risau.

Aku hanya mampu kata, ya. Terus tangan aku menggeletar lepas tu. Dalam hati, dah fikir yang bukan-bukan. Fikiran dah tak menentu. Tapi aku cuba siapkan juga tugasan yang harus aku hantar pagi tu.

Dalam jam 10 pagi, Abang kata Mak dah sedar. Tapi macam separuh sedar. Dia tak bercakap. Tekanan darah agak tinggi.

Dengan penuh sabar aku menanti berita terbaru pasal Mak. Tekanan darah tak berapa menentu. Masih tak bercakap tapi sedar. Akhirnya dalam jam 2 petang, Mak dihantar ke Hospital Besar Ipoh. Doktor suspect Mak kena stroke. Jadi harus buat brain scan.

Jam 3-6 petang. Confirm ada bleeding dalam otak Mak. Ada aneurysm jugak. Doktor nak buat scan lagi sekali hari Isnin untuk cari punca pendarahan. Harus dibedah untuk klip aneurysm sebab takut salur darah tu pecah dan ada pendarahan lebih teruk lagi. Satu pembedahan yang besar risiko. Aku hanya dapat doa agar Mak selamat dari jauh.

Pagi Februari 1, 2009.

Tekanan darah Mak dah turun. Mak dah boleh bergerak sendiri untuk naik katil lepas mandi pagi tu. Kakak SMS kata malam tadi Mak muntah sebelum tido. Pagi ni Mak masih sakit kepala.

Aku akan pulang Malaysia untuk tengok Mak sebelum pembedahan.

Ya Tuhan yang Maha Esa, selamatkanlah Mak aku. Hanya kepada-Mu tempat aku meminta. Hanya pada-Mu tempat aku mengadu. Selamatkanlah Mak aku.

Tolong doa Mak aku selamat. Terima kasih.

Ada Apa Dengan liquor cerebrospinalis?

Tentu ada yang tertanya-tanya kenapa saya menggunakan liquor cerebrospinalis sebagai nama pena saya. Tidak kira di mana saya mengepos artikel, nama ini akan tetap saya gunakan. Sehingga hari ini, terdapat lebih daripada 20 artikel karangan saya sendiri yang telah dipublikasikan di beberapa laman web. Majoriti di dalam bahasa Inggeris.

Untuk pengetahun anda, perkataan liquor cerebrospinalis adalah perkataan dalam bahasa Latin yang bermaksud cecair yang terletak di antara dua lapisan otak yang dipanggil subarachnoid space. Ketika saya menjejakkan kaki ke dalam dunia blogging, saya sedang mempelajari sistem neuron di tubuh manusia dan perkataan liquor cerebrospinalis itu sering kali digunakan. Jadi nama ini terus saya guna sehingga sekarang sebagai tanda minat terhadap permbelajaran ketika itu.

P/S: Setelah beberapa ketika menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar di sini, terbit rasa janggal dan kekok kerana membahasakan diri sebagai ‘saya’ padahal di dunia nyata, perkataan ‘aku’ acapkali saya gunakan. Jadi mungkin akan ada sedikit perubahan di masa depan.